Pages

Monday, October 7, 2013

10 HARI MULIA UNTUK PARA PENCINTA DIA

“Tidaklah ada hari-hari untuk beramal soleh di dalamnya yang lebih dicintai Allah melainkan hari-hari ini (sepuluh hari awal dalam Zulhijjah).” Sabda baginda s.a.w.

Para sahabat yang responsif iman mereka ini tidak sekadar mendengar dan mengangguk sahaja. Bahkan mereka bertanya pula untuk memastikan apa benarkah amalan soleh dalam 10  hari ini lebih baik atau jihad yang pernah Rasul s.a.w. sebutkan dalam satu hadis lain sebagai afdolul a’mal (sebaik-baik amal) itu yang lebih baik?

Sahabat bertanya baginda, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah?”

“Walau jihad di jalan Allah sekalipun melainkan seorang lelaki keluar dengan dirinya dan hartanya, tidaklah dia kembali walau dengan satu apapun dari (kedua-dua)nya itu.” [HR Bukhari, no 969].

Betapa Allah Sentiasa Menyediakan Medan Perubahan

“Dilebihkan 10 hari awal dari bulan Zulhijjah ini…” komen Ibn Hajar Al-Asqalani, “…adalah kerana berkumpul di dalamnya ibadah-ibadah yang ummahat (ibadah-ibadah besar) iaitu solat, puasa, sedekah dan haji, tidaklah datang semisal itu selainnya.” [Fathul Bari]

Banyak sekali pintu kebaikan yang Allah sediakan untuk insan. Bukan untuk membebankan, jauh sekali untuk memudaratkan hamba-Nya. Tetapi disediakan pintu-pintu kebaikan yang banyak ini agar insan mencari peluang pada masa-masa keemasan seperti 10 hari awal Zulhijjah ini untuk memperbaiki dirinya dan hubungannya dengan Allah.

Barangkali ketika melalui Ramadhan yang lepas, belum benar-benar timbul kesedaran dalam benak dirinya untuk berubah ke arah hidup yang lebih baik. Ramadhan itu merupakan sebaik-baik bulan. Di dalamnya pula terdapat sebaik-baik malam. Namun, mungkin pada ketika itu keterikatan dirinya dengan dosa masih belum dapat dirungkai, ketagihannya dengan sikap malas dan ego untuk tunduk kepada Tuhan mungkin masih belum dapat dihilangkan.

Maka, Allah sediakan lagi stesyen sebagai pintu kepada insan untuk membantu perubahan dirinya.

Betapa tidak pernah serik Allah mahu hamba-Nya kembali kepada-Nya, sentiasa dibuka pintu demi pintu untuk hamba-Nya kembali bersihkan diri mereka, namun kita saja yang sentiasa meletakkan hadangan demi hadangan dalam hati kita sendiri untuk kembali dekat kepada-Nya.

Ketaatan Adalah Kekuatan Menyuburkan Pengorbanan

Selepas 10 malam akhir Ramadhan yang merupakan antara malam-malam terbaik dalam setahun, maka Allah kurniakan pula 10 hari awal Zulhijjah sebagai antara hari-hari terbaik dalam setahun.

Hari untuk pembersihan jiwa.
Hari untuk kita memuhasabah perjalanan taqwa setelah beberapa hari meninggalkan gerbang taqwa pada Ramadhan lepas.

Adakah iman telah surut tinggal senipis bawang pasca musim semaian taqwa atau masih kekal bertahan jadi perisai yang kebal menahan dan melindungi iman dan amal kita?

Kalau iman telah menipis, ini masa untuk membaikinya semula.
Kalau iman masih subur dalam diri, ini adalah stesyen untuk memelihara istiqamah dalam ketaatan kepada Allah.

Di hujung 10 hari ini adalah sunnah melakukan korban.  
Sunnah berkorban yang berkait rapat dengan kisah Ibrahim a.s. yang menerima perintah menyembelih anaknya, Ismail a.s. itu tidak hanya menuntut agar pisau dilalukan di leher binatang dan dikorbankan binatang itu semata-mata, tetapi yang lebih besar adalah agar dikorbankan juga kepentingan-kepentingan duniawi dalam hati kita selain Allah s.w.t.

 “Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikian Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat kebaikan.” [Al-Haj : 37]

Roh ketaatan kepada Allahlah yang mendorong Ibrahim a.s. untuk melakukan perintah Allah s.w.t. itu. Bukan dilakukan dengan jiwa yang kosong dari iman dan takut kepada Allah s.w.t. Kalau ikutkan perasaan manusiawi seorang bapa, tidak mungkin akan dilakukan perkara sedemikian itu.

Bagaimana mungkin dikorbankan anaknya sendiri yang telah lama pula ditinggalkannya membesar di padang pasir yang panas dan terbiar itu?

Tetapi roh ketaatan kepada Allah itulah yang telah mendorong dirinya untuk sanggup mengorbankan kepentingan dirinya demi kepentingan Allah yang lebih besar dalam hatinya.

Hidup berjuang untuk Islam sentiasa berdepan dengan cabaran dan halangan. Perjuangan ini akan menuntut pengorbanan harta, tenaga dan akhirnya nyawa kita sendiri. Tidak akan lahir pengorbanan untuk Islam ini melainkan dengan hati yang tunduk dan taat kepada Allah s.w.t.

Hati yang tunduk dan taat kepada Allah s.w.t. akan sentiasa melihat ganjaran di sisi Tuhan itu jauh lebih baik dari hidup dunia ini.  Itulah yang melahirkan kesediaan untuk melakukan pengorbanan.

Suburkan 10 Hari Di Zulhijjah Ini Dengan Amal Soleh

Masih ada kesempatan buat kita sekiranya kita masih belum serius memanfaatkan peluang 10 hari ini sebagai sarana untuk tazkiyatunnas (penyucian jiwa) dan tarbiyah (pendidikan) untuk diri kita.

Beberapa hari yang berbaki ini, dicadangkan untuk kita memperbanyak dan memperbaiki kualiti amal soleh kita. Apa-apa saja amal soleh boleh dilakukan, antaranya :
1) Memperbanyak zikrullah, tasbih, tahmid, takbir dan tahlil

2) Berpuasa :  Bagi yang tidak melakukan haji, digalakkan untuk berpuasa terutamanya pada hari Arafah.

Dari Abi Qotadah r.a. berkata : Ditanya kepada Rasul s.a.w. tentang puasa pada hari Arafah? Baginda bersabda : “Diampunkan baginya dosa pada tahun lepas dan tahun akan datang.” [HR Muslim, no 1162]

3) Menambah tilawah dan tadabbur Al-Quran

4) Bersedekah di jalan Allah

5) Menjauhi maksiat – Stesyen kebaikan ini disediakan untuk sebagai satu rangsangan menuju perubahan. 
Rugilah siapa yang masih tidak mahu memanfaatkannya.

6) Berkorban

7) Beristighfar

8) Qiamullail

9) Bersilaturahim

10) Belajar dan menuntut ilmu

Penutup : Para Pencinta Dia Adalah Mereka Yang Bersedia Berkorban Untuk-Nya

Kenapa kita sentiasa perlu diingatkan dan dipesan untuk selalu beramal soleh?

Kerana itulah sumber kekuatan yang menghidupkan hati-hati para pencinta-Nya. Kita beramal soleh bukan kerana kita ada masa lapang, apalagi kerana merasa bosan dengan banyaknya kerosakan dunia ini dan kita pun ingin mengasingkan diri kita.

Tidak. Islam tidak mengajar kita mengasingkan diri dari ummat hanya kerana mahu beramal soleh seorang diri kita sambil membiarkan kerosakan dalam masyarakat tidak dibaiki.

Kerana rasa cinta kita kepada Dialah dan kerana merasakan inilah bekalan utama yang menjadi keperluan kekuatan kita dalam berjuang di atas jalan Islam dan iman ini, maka kita sentiasa mengintai ruang dan peluang untuk menambah dan memperbaiki amal soleh kita agar menjadi bekalan buat kita untuk mengislah masyarakat.

Natijah dari cinta adalah kesediaan untuk memberi dan berkorban.

Amal soleh dan ibadah yang dilakukan tanpa rasa cinta, akan membuatkan hati pemiliknya tidak dapat menjiwai kelazatan berhubung dengan Tuhannya.

Hati yang tidak merasai kelazatan berhubung dengan Tuhannya, dari manakah akan dia perolehi kekuatan untuk sedia berkorban demi Tuhannya?

Mari manfaatkan peluang 10 hari awal di Zulhijjah ini untuk tarbiyah dan tazkiyah diri.

AFDHOLUL RAHMAN BIN CHE ANI
TAHUN 3 
UNIVERSITI YARMOUK


No comments:

Post a Comment