Pages

Monday, October 14, 2013

PERUTUSAN AIDIL-ADHA 1343H

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil hamd’...
Marilah sama-sama kita rafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah ‘Azzawajalla atas nikmat hidup atas jalan islam dan iman. Selawat dan salam atas junjungan mulia, Nabi Muhammad S.A.W., ahli keluarga baginda, para sahabat serta para salafus soleh.
Setiap tanggal 10 zulhijjah, umat islam diberi satu kemuliaan yang besar untuk menyambut dan meraikan Hari Aidiladha. Hari raya ini yang disambut umat islam di seluruh dunia bersempena dengan ibadah haji dan korban, telah diasaskan oleh Nabi Ibrahim ‘alaihissalam, dengan perintah Allah S.W.T.
Sirah islamiyyah telah mencatatkan, satu pengorbanan agung yang telah dilaksanakan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam, baginda sanggup untuk mengorbankan anak kesayangannya Nabi Ismail yang ditinggalkan di bumi kontang sejak kecil,semata-mata patuh dan tunduk akan perintah Rabb nya, yang akhirnya Allah membatalkan perintah ini dengan ibadah korban menyembelih binatang peliharaan. Para ulamak telah menafsirkan bahawa peristiwa ini merupakan puncak ketaqwaan dan keikhlasan seorang hamba terhadap Tuhannya.Peristiwa ini juga menunjukkan, bahawa kita sebagai umat islam, perlu yakin dan beriman, bahawasanya Allah S.W.T. adalah tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Memberi Rezeki. 

Justeru, wajiblah kita sebagai hambanya menyerahkan keseluruh jiwa dan raga, dan berkorban harta dan tenaga, sebagai tanda cinta dan taat. Dalam konteks sebagai seorang penuntut ilmu, konsep pengorbanan memang tidak dapat dipisahkan. Seseorang penuntut ilmu yang tulen, akan sentiasa merasakan jihad pencarian ilmunya merupakan suatu pengorbanan yang mesti dan pasti. Namun, segala ujian dan tribulasi yang datang, akan ditempuhinya dengan usaha dan tawakkal menggunung tinggi pada Allah, kerana ‘ibrah pengajaran dalam ibadah korban ini, adalah kebergantungan dan pengharapan kita sebagai hamba yang lemah kepada Pencipta kita dalam menghadapi alam dunia menuju akhirat yang kekal abadi.
Akhir kalam, saya mewakili barisan kepimpinan Majlis Mahasiswa Pulau Pinang Jordan (MUTIARA) mengucapkan Selamat Hari Aidiladha kepada semua muslimin dan muslimat, khususnya kepada umat islam di Malaysia.

Moga kita sama-sama menghayati pengajaran dalam ibadah korban di hari yang agung ini dalam membina peribadi dan masyarakat kearah yang lebih baik.
"MEMANGUN BERSAMA MUTIARA"

Wasalam.

Muhammad Yuhakim Fitri Bin Yunus
Yang Dipertua,
MAJLIS MAHASISWA PULAU PINANG JORDAN,
MUTIARA
sesi 2013/2014.




No comments:

Post a Comment